Berlembut atau berkasar?


Berlembut atau berkasar?

Share this news with :

Email Whatsapp

PENDEKATAN yang lebih lembut iaitu dengan cara psikologi dikatakan lebih berkesan dalam memacu kemenjadian pelajar dan remaja.

Namun, dengan arus pemodenan dan kecanggihan teknologi, mendidik anak-anak terutama pelajar serta remaja adalah sangat mencabar.

Andai mendidik dengan pendekatan yang lebih keras termasuk merotan dilaksanakan, ia juga dikatakan tidak sesuai pada zaman sekarang memandangkan generasi kini berbeza.

Oleh demikian, apa sebenarnya pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan dalam memastikan kemenjadian pelajar dan remaja masa kini?


Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, dalam hal ini masyarakat perlu faham dan melihat isu ini secara halus dan mendalam sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Menurutnya, tidak dinafikan dalam mendidik anak-anak dan pelajar sekolah perlu mengikut arus perubahan zaman mereka.

"Apa kaedah sesuai dan perlu digunakan serta dilaksanakan bagi membentuk pelajar dan remaja supaya pembentukan akhlak, moral dan jati diri dapat dilaksanakan dengan baik? Perkara itu sebenarnya masih berlegar-legar.

"Tetapi, jika melihat situasi di mana cara berlembut atau keras sangat juga tidak boleh, saya berasa perkara ini perlu diteliti dengan sebaiknya.

"Ia perlu supaya semua pihak yang ingin mengambil tindakan sedar keperluan terbabit sama ada menggunakan kaedah psikologi ataupun kaedah kekerasan sesuai pada tempat dan waktu itu," katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan apabila tindakan yang diambil melalui kekerasan semata tanpa menggunakan kaedah psikologi yang betul, ia mungkin membawa kesan jangka pendek dan jangka panjang terutama kesan terhadap emosi selain psikologi.

"Sebagai pakar psikologi perkembangan, saya berpendapat dalam mendidik anak-anak, merotan atau hukuman yang membabitkan fizikal adalah kaedah terakhir yang boleh digunakan jika semua kaedah yang lebih lembut sudah dilakukan secara berperingkat, namun tidak berjalan dengan baik.

"Dalam Islam sendiri, merotan itu dibenarkan, tetapi untuk anak-anak berusia 10 tahun ke atas.

"Ini jelas menunjukkan, sebelum mereka berusia 10 tahun, kita perlu memberi nasihat dahulu dan menggunakan cara lain yang bukan rotan walaupun sudah kerap diberi nasihat.

"Merotan dalam Islam juga ada caranya. Di mana mereka tidak boleh memukul bahagian muka, bahagian atas badan, tetapi di bahagian lutut hingga ke bawah. Itu pun niatnya bukan menyakiti, tetapi untuk mendidik," katanya.

Mengulas adalah merotan masih relevan pada ketika ini, Dr Abdul Rahman berkata, ia masih relevan, namun ibu bapa dan guru perlu ada garis panduan.

"Dalam isu rotan, kita tidak boleh terus mengatakan perkara itu tidak boleh kerana secara peribadi saya berpendapat dalam membentuk akhlak dan pembentukan peribadi serta jati diri, berlembut sangat pun sebenarnya tidak boleh lebih-lebih lagi kita sudah mengetahui cara itu tidak berkesan.

"Jadi, kita kena guna cara yang berbeza," katanya.

Sebenarnya, merotan atau menggunakan pendekatan kekerasan dalam mendidik pelajar dan remaja adalah isu yang sangat rumit.

Mengulas lanjut, Dr Abdul rahman berkata, jika dilihat kepada aspek perkembangan anak-anak dan pelajar sekolah, kadangkala apabila mereka melakukan kesalahan tanpa sengaja, adalah tidak adil andai mereka dihukum secara keras.

Justeru, pendekatan terbaik dalam mendidik pelajar dan remaja pada masa kini adalah dengan menggabungkan kaedah psikologi yang lebih lembut terlebih dahulu dan hukuman dijadikan sebagai langkah terakhir.

"Sebagai ibu bapa atau guru, komunikasi adalah kunci utama dan ia sangat penting untuk memberi emosi. Tapi, ketika berkomunikasi itu, kita kena faham tingkah laku pelajar atau anak.

"Adakah ia melakukan sesuatu kesalahan disebabkan ingin memberontak atau ambil tindakan itu disebabkan perkara lain seperti mempertahankan diri kerana dibuli kawan?

"Ataupun contoh dalam bersukan seperti gagal membuat jaringan. Sepatutnya perlu berkomunikasi dengan baik dahulu berbanding terus beremosi," katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, dalam masa sama ibu bapa atau guru perlu dididik atau tahu emosi sendiri terutama ketika marah.

"Pengurusan kemarahan untuk dewasa adalah penting bagi orang dewasa dalam menangani anak-anak. Jika tidak ada pengurusan kemarahan, itu yang berlaku kekerasan.

"Oleh itu, bagi saya adalah penting guru dan ibu bapa diajar atau belajar kemahiran pengurusan kemarahan kerana mereka yang akan terbabit secara langsung dengan pelajar dan remaja," katanya.

Selepas komunikasi, kaedah yang boleh digunakan adalah 'negative reinforcement' yang mana keistimewaan mereka boleh ditarik buat seketika.

Sebagai contoh, jika dalam masa seminggu seorang murid itu tidak menunjukkan prestasi dalam latihan, keistimewaan yang mereka ada ditarik sementara.

Ia adalah salah satu kaedah psikologi yang memang masih relevan digunakan. Namun, apabila sesuatu tindakan diambil, perlu ada justifikasi dan rasionalisasi.

Perkara itu perlu supaya anak-anak, pelajar dan remaja tahu mengapa mereka dimarahai, dirotan, dihukum dan sebagainya.

Bukan itu saja, Dr Abdul Rahman berpendapat ibu bapa dan guru boleh memaklumkan anak serta pelajar mengenai kebarangkalian yang boleh mereka hadapi jika mereka, tetapi melakukan perkara yang dilarang.

"Apa pun kaedah yang mahu digunakan, gunakan kaedah lembut terlebih dahulu sebelum kekerasan.

"Tetapi, perlu diingat kaedah kekasaran perlu dijadikan langkah terakhir dan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

"Ia bagi memastikan kaedah itu tidak mencederakan bukan saja, diri tetapi emosi dan psikologi anak-anak. Itu yang lebih penting," katanya.

source : https://www.hmetro.com.my/akademia/2023/01/923702/berlembut-atau-berkasar

Share this news with :

Email Whatsapp